KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan formula penyelesaian isu pengagihan gas antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dalam masa terdekat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan pengumuman tersebut sekali gus mengakhiri isu berkaitan pengagiha gas antara PETRONAS dan PETROS.
Beliau berkata, isu ini tidak lagi menjadi masalah besar, dengan kedua-dua pihak mencapai kesepakatan dari segi perundangan.
“PETRONAS bergantung kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), manakala kita di Sarawak menggunakan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958.
"Kini telah diputuskan bahawa PDA dan OMO boleh wujud bersama,” katanya dalam sesi rakaman Temu Bual Khas Pasca-Belanjawan Sarawak 2025 terbitan TVS, malam ini.
Sementara itu, Abang Johari juga menolak tanggapan bahawa PETRONAS bakal mengalami kerugian besar akibat pengagihan gas tersebut.
“Ada yang kata PETRONAS akan hilang RM100 bilion. Ya, mungkin keuntungan akan berkurangan sedikit, tetapi perkara ini boleh diselesaikan dengan baik,” katanya.
Tegasnya, PETROS akan terus bekerjasama dengan PETRONAS bagi memastikan manfaat daripada industri gas dapat dinikmati bersama.
“Ini bermakna hasil penerokaan gas di Sarawak akan dikongsi bersama. Isu yang timbul sebelum ini hanya melibatkan aspek perundangan,” tambahnya.